Sinaran Ibadah di Ramadhan yang Barakah

Posted by Twenty Seven on Sunday, June 22, 2014 with No comments

Kedatangan Ramadhan merupakan satu anugerah yang cukup besar Allah kurniakan kepada kita. Maka dengan kehadiran Ramadhan haruslah disambut dengan persediaan yang baik dari sudut rohani, mental dan fizikal sebagaimana disifatkan Ramadhan adalah sebuah madrasah untuk membentukkan seorang muslim yang mukmin.

    Banyak ganjaran yang Allah janjikan pada bulan ini. Bulan yang padanya dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka dan syaitan dibelenggu. Antara janji Allah untuk orang yang berpuasa dapat memasuki Pintu Ar-Rayyan di dalam syurga.

   Amalan puasa merupakan amalan yang cukup besar nilaiannya sehinggakan Allah berfirman dalam satu hadith qudsi “Sesungguhnya setiap amalan anak Adam itu adalah baginya kecuali puasa, Sesungguhnya ianya adalah untuk Aku dan Aku sendiri akan memberikan ganjarannya. Dia  meninggalkan  syahwatnya,  makanannya kerana  Aku.  Bagi  orang-orang  yang  berpuasa dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka puasa  dan  kegembiraan  ketika  bertemu dengan Tuhannya, dan bau mulut orang yang berpuasa  itu  lebih  harum  daripada  bau  kasturi di sisi Allah.”  [HR: Muslim dari Abu Hurairah]

   Sabda Nabi Muhammad, Selawat dan Salam ke atas Baginda : “Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan pahala) maka akan diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu”. [HR : Bukhari dan Muslim]

   Sesungguhnya puasa merupakan perisai. Perisai daripada syahwat, perisai daripada penyakit dan paling besar adalah ianya perisai kita daripada dosa dan api neraka. Disebalik puasa banyak hikmah yang tersembunyi untuk melatih diri kita.

   Puasa mengajar kita erti bersyukur. Setelah baki bulan yang sebelum ini kita memenuhkan perut kita tibalah masanya kita mengajar diri untuk bersama fakir miskin. Namun malangnya bagi sesetengah pihak yang Ramadhan bukan menjadi latihan baginya namun menjadi bulan pesta makanan baginya!!! Moga kita berlepas diri dari golongan ini.

   Puasa mengajar erti bersabar. Jiwa insan perlulah ditekan dan dididik dengan elok. Membiarkan jiwa manja akan menyebabkan tubuh badan kita juga akan menjadi manja. Hakikat yang kita ingin lahirkan bagi generasi muda adalah insan yang berjiwa rabbani berjasad jundi.

   Didiklah diri kita dengan amalan sunnah yang ditunjukkan oleh Baginda Nabi S.A.W. Antara amalan-amalan sunnah yang dianjurkan bagi kita adalah :

1.      Menjaga penglihatan dan meningggalkan perkataan buruk

Cukup pelik sekiranya kita boleh berusaha untuk meninggalkan perkara yang harus seperti makan, minum dan bersetubuh namun kita tidak berusaha meninggalkan perkara yang haram. Sesungguhnya meninggalkan perkara yang haram itu lebih dituntut. Sesungguhnya sekiranya demikian kita telah bermudah-mudah dalam melakukan perkara-perkara yang wajib namun hanya mengerjakan yang sunat.

Tuntutan menjaga mata daripada melihat perkara yang dapat mendatangkan dosa bukan hanya terhad pada bulan Ramadhan sahaja cuma kehadiran Ramadhan yang berkat ini menambah lagi kekuatan untuk menahan mata dari melihat kepada perkara yang tidak sepatutnya.

Sabda Nabi Muhammad Selawat dan Salam ke atas Baginda : “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan  dusta  dan  terus  mengamalkannya, maka  Allah tidak  berhajat  agar dia meninggalkan makanan dan minumannya (yakni berpuasa).” [HR: Al-Bukhari].

Jika  seseorang  daripada  kamu mula  berpuasa  maka  janganlah  dia  melakukan Rafath (melakukan  perkara-perkara  yang membangkitkan  nafsu)  dan  janganlah  dia bergaduh, sekiranya  seseorang  mencaci  atau memusuhinya  maka  hendaklah  dia  berkata: Sesungguhnya aku berpuasa! Sesungguhnya aku berpuasa!” [HR: Muslim]

2.      Memberi makan kepada orang yang berpuasa

Amalan memberi atau menjamu makan juga antara amalan yang dituntut. Amalan memberi makan di Malaysia tidak serancak di negara Arab. Di Malaysia kebiasaannya menghadiri jamuan makan hanyalah ketika adanya kenduri. Hakikatnya memberi makan tidak terhad hanya pada kenduri sahaja. Sesungguhnya amalan memberi makan akan menambahkan lagi berkat pada rezeqi yang kita perolehi.

Sabda Nabi Muhammad : “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti mana pahala orang berpuasa tanpa berkurangan walaupun sedikitpun” [HR : Tirmizi]

3.      Menghidupkan malam Ramadhan dengan solat

Sabda Nabi Muhammad S.A.W : “Barangsiapa yang bangun (solat) pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan pahala) maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu” [Muttafaqun ‘Alaih]

Tidak cukup dengan solat Terawih, kita dianjurkan untuk menghidupkan malam dengan Qiyamullail.

4.      Memperbanyakkan membaca Al-Quran

Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman : “Pada bulan Ramadhan yang mana padanya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan penjelas kepada petunjuk itu dan sebagai Al-Furqan (pembeza antara haq dan bathil)”

Nabi Muhammad S.A.W didatangi Jibril sekali pada bulan Ramadhan dan 2 kali pada tahun Nabi diwafatkan.

Para ulama’ amat bersungguh-sungguh untuk membaca Al-Quran pada bulan ini, sehinggakan khatam sehingga 60 kali semisal Al-Imam Asy-Syafie rhm.

5.      Beriktikaf di masjid pada 10 akhir Ramadhan

Sayyidatina ‘Aisyah berkata : Nabi S.A.W beriktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan sehingga Allah mewafatkan Baginda. Kemudian isteri-isterinya terus beri’tikaf selepasnya” [HR: Al-Bukhari]

6.      Memperbanyakkan doa lebih-lebih lagi pada 10 terakhir Ramadhan

Sesungguhnya Allah Jalla wa ‘Ala mengakhiri ayat Al-Quran mengenai kewajiban berpuasa denga ayat “وإذا سألك عبادي عني فإني قريب أجيب دعوة الداع إذا دعان” yang bermaksud “Dan apabila hambaku bertanyamu mengenai diriKu Sesungguhnya aku hampir (dengan mereka). Aku perkenankan doa orang yang meminta apabila dia meminta kepadaKu”

Perbanyakkan doa di akhir Ramadhan untuk bertepatan mencari Lailatul Qadr.

7.      Mengerjakan umrah pada bulan Ramadhan

Sabda Rasulullah S.A.W : “Sesungguhnya satu umrah pada bulan Ramadhan menyamai satu haji” Dalam riwayat yang lain “Menyamai satu haji bersamaku”. [HR: Al-Bukhari dan Muslim]

8.      Bersahur dan melewatkan sahur

Antara perkara yang disunatkan pada bulan berpuasa adalah bersahur dan melewatkan sahur kerana ianya akan membantu untuk memberikan tenaga semasa berpuasa pada siang hari.

Nabi Muhammad S.A.W  bersabda : “Bersahurlah kamu kerana di dalam sahur itu ada keberkatan” [HR : Al-Bukhari dan Muslim]

Lagi hadith berkaitan sahur “Perbezaan antara puasa kita (orang Islam) dan puasa Ahli Kitab adalah memakan sahur” [HR: Muslim]

9.      Menyegerakan berbuka 

Rasulullah S.A.W bersabda : “Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi mereka sentiasa menyegerakan berbuka puasa” [Muttafaqun ‘Alaih]

Antara doa-doa berbuka puasa adalah :

"ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله "

Maksudnya : “Telah hilang dahaga, telah basah segala urat-urat dan semoga tetaplah beroleh pahala, In Syaa Allah” [HR: Abu Dawud]

اللهم إني أسألك برحمتك التي وسعت كل شيء أن تغفرلى

Bermaksud : “Ya Allah!! Sesungguhnya aku memohon rahmatMu yang meliputi segala sesuatu agar Engkau mengampuniku” [HR: Ibnu Majah]

اللهم لك صمنا وعلى ورزقك أفطرنا فتقبل منا إنك أنت السميع العليم

Maksudnya : “Ya Allah bagi Engkau kami berpuasa dan dengan rezeqi Engkau kami berbuka maka terimalah dari kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui”[HR : Ad-Daraquthni]

10.  Bersedekah

Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu berkata : Rasulullah S.A.W adalah manusia yang sangat pemurah Baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan.....dan Baginda S.A.W lebih pemurah dalam kebaikan daripada angin yang kencang”

Sebagai terakhir, mari kita renungi sabda Baginda Nabi Muhammad S.A.W “Sangat malang orang yang berkesempatan melalui Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya” [HR: Ibnu Khuzaimah, Al-Baihaqi]

Bertitik tolak daripada itu sama-samalah kita mengejar kelebihan yang dikurniakan dalam yang yang cukup mulia ini. Peluang yang julung-julung kali ada. Sekali srtahun sekiranya tidak diambil nyawa kita oleh Allah. Marilah kita berazam denga bersungguh-sungguh untuk beramal semaksimum mungkin supaya ganjaran yang Allah janjikan dapat kita rasai.


Sebagai pengakhiran, sama-samalah kita berdoa agar disempat bersama Ramadhan dan tubuh badan kita sihat dalam beribadat di bulan Ramadhan. Berdoalah agar Allah memberikan kekuatan agar Ramadhan tahun ini lebih baik daripada Ramadhan yang lepas. Semoga amalan baik yang kita lakukan ditimbang sebagai amalan baik di saat ditimbangnya amalan di akhirat kelak. Semoga artikel ringkas yang penuh kekurangan berbekalkan masa yang singkat menulisnya juga menjadi amalan baik di timbangan amalan baik saya. Aameen...
Categories: