7 LANGKAH EFEKTIF MENGURUS AKTIVITI

Posted by Twenty Seven on Friday, August 15, 2014 with No comments


  Dalam menguruskan perancangan dan aktiviti seharian memerlukan kayu ukur untuk menjamin ianya berjalan dengan lancar. Ramai dalam kalangan kita merancang namun pengakhiran kepada perkara tersebut tidak sempurna mengakibatkan perancangan-perancangan yang ingin dilakukan tergendala. Di sini saya cuba untuk berkongsi 7 langkah yang efektif dalam menguruskan aktiviti. Semoga bermanfaat.


7 langkah tersebut adalah :

1. Al-Musyarotoh (Penetapan)
2. Al-Muroqobah (Pemantauan)
3. Al-Mujahadah (Kesungguhan)
4. Al-Muhasabah (Muhasabah)
5. Al-Mu’atabah (Teguran)
6. Al-Mu’aqobah (Hukuman)
7. Al-Mukafa-ah (Ganjaran)

1.      AL-MUSYAROTOH (Penetapan)

Yang dimaksudkan dengan Al-Musyarothoh adalah dengan menetapkan perkara-perkara yang ingin dilakukan dengan tersusun. Tentukan apa yang ingin dilakukan pada hari tersebut. Cara untuk kita melakukan al-Musyarothoh adalah dengan ambil masa seketika di awal pagi kurang 15 minit sebelum memulakan pekerjaan pada hari itu. Tuliskan perkara yang kita ingin capai pada hari tersebut.

Di samping menyusun program kita pada hari tersebut. Pada waktu itu kita ambil masa seketika ingat akan cita-cita kita di masa hadapan. Kuatkan semangat, keazaman dan kemahuan kita. Lakukan perkara pada hari tersebut dengan penuh keazaman.

Katakan kepada diri kita :

Duhai Diri!! Umur adalah pendek, hari semakin berlalu sedangkan waktu itu sangat berharga. Kewajipan dan tanggungjawab yang ada cukup banyak dan cukup besar. Ingatlah!! Jalan yang akan kita lalui cukup susah.

Duhai Diri!! Aku ada modal untuk berniaga iaitu umur dan alat-alatan untuk berniaga iaitu anggota badan. Engkau perlu mendapat keuntungan yang besar iaitu syurga agar kita tidak rugi.

Duhai diri!! Ini adalah peluang keemasan maka gunakanlah peluang ini dengan sebaik mungkin dan manfaatkannya dengan maksima. Sekiranya engkau mensia-siakan peluang yang berharga ini maka engkau akan sangat menyesal. Maka untuk apa engkau merugikan peluang ini? Untuk apa engkau menjadi lemah dan malas?

Duhai diri!! Hari ini engkau perlu lakukan perkara sekian di masa sekian. Engkau perlu melazimi perkara ini. Sekiranya engkau tidak melakukannya aku akan mendenda engkau!!!

Al-Musyarothoh cukup penting bagi melancarkan kerja-kerja kita yang kita ingin lakukan pada hari tersebut. Ditambahkan keazaman yang tinggi serta semangat dan kemahuan InsyaAllah perjalanan aktiviti kita akan berjalan lancar.

Berdoalah agar Allah memudahkan urusan kita dalam menyusun aktiviti kita pada hari tersebut.


2.       AL-MUROQOBAH (Pemantauan)

Sesungguhnya Allah sentiasa memerhatikan kamu (Surah An-Nisa’ Ayat 1)

Pantau aktiviti yang kita lakukan. Sebaik-baik pemantauan adalah pantauan Allah S.W.T.  Kita terdedah dengan perkara yang membawa kepada dosa. Tidakkah kita ingat bahawasanya untuk memasuki syurga ada syarat-syaratnya. Pentingnya Al-Muroqobah adalah agar tidak berlaku kecacatan terhadap aktiviti kita dan semasa menjalankan aktiviti tersebut.

Jangan lalai!! Ingatlah bahawasanya apa yang kita akan lakukan ini akan dinilai oleh Allah. Maka kita jangan biarkan aktiviti kita sia-sia tanpa dinilai sebagai ibadah.


3.      AL-MUJAHADAH

Perkara yang paling berat dan susah adalah al-mujahadah (kesungguhan). Mana mungkin apa-apa perancangan dapat berjalan dengan baik tanpa kesungguhan. Sesungguhnya nafsu amat suka kepada kerehatan.

Melayan nafsu malas akan mendatangkan was-was kepada diri kita. Nafsu akan mengajak kita untuk menjauhi perkara yang baik mengakibatkan aktiviti kita akan gagal dan mensia-siakan perancangan kita.

Ketika mana lemahnya kekuatan, kuatkan kesabaran. Tetapkan pendirian. Kuatkan semangat. Mana mungkin kesungguhan dapat berlaku tanpa sabar dan berpendirian tetap.

Boleh jadi kamu membenci  sesuatu perkara sedangkan ianya baik bagi kamu dan boleh jadi kamu meyukai sesuatu perkara sedangkan perkara tersebut buruk untuk kamu. Allah jua yang mengetahui sedang kamu tidak mengetahui. (Surah Al-Baqarah Ayat 216)

Nafsu perlulah mengikuti kita agar kita dapat melaksanakan aktiviti kita bukan kita yang mengikuti nafsu. Nafsu perlu dididik dan dibentuk ke arah kebaikan. Sekiranya nafsu malas diikuti maka kita akan rugi. Manakala apabila bermujahadah dengan nafsu dan menyibukkannya dengan keupayaan dan kemampuan kita maka kita akan berjaya dan beruntung.

Dan sesiapa yang bermujahadah untuk Kami pasti Kami akan memberikan mereka petunjuk akan jalan-jalan Kami. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berbuat kebaikan (Surah Al-‘Ankabut Ayat 69)


4.      AL-MUHASABAH

Setelah melakukan 3 langkah yang awal seterusnya adalah Al-Muhasabah. Kita perlu peruntukkan sedikit lagi masa kurang dari 15 minit untuk mengoreksi diri kita. Ambil masa sebelum tidur. Tengok kembali aktiviti yang sepatutnya kita lakukan sepanjang hari.

Imbas kembali apa yang kita lakukan sepanjang hari. Bersyukur dan pujilah Allah kerana telah memberi petunjuk terhadap kebaikan-kebaikan yang telah Allah kurniakan. Semak kekurangan, kesalahan dan kecacatan yang berlaku. Catatkan dan kumpulkan kesalahan untuk diperbaiki dan diperbetulkan untuk hari seterusnya.

Dengan catatan yang kita buat itu adalah untuk kita perbetulkannya. Adakah kita mahu catatan amalan sebegini dihadapkan kepada Allah di Hari Qiyamah?? Adakah kita suka sekiranya kita berjumpa dengan Allah dengan catatan amalan seperti ini?? Dengan catatan amalan sebegini kita akan mengambil buku catatan tersebut dengan tangan kanan atau tangan kiri?? Adakah keredhaan bagi Allah ataukah kemurkaan??

Jangan lupa untuk kita semak juga dosa dan maksiat yang telah kita lakukan bersama Istighfar semudah menyebut Astaghfirullah (Aku memohon keampunanMu).

Sebaik-baik istighfar adalah Sayyidul Istighfar (Penghulu Istighfar).

اللهم أنت ربي لا إله إلا أنت خلقتني وأنا عبدك وأنا على عهدك ووعدك ما استطعت أبوء لك بنعمتك علي وأبوء بذنبي فاغفرلي فإنه لا يعفر الذنوب إلا أنت

“Ya Allah Engkaulah Tuhanku, Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Engkau telah menciptakan aku. Aku adalah hambaMu dan aku berada di atas perintah dan janjiMu sekadar kemampuanku. Aku mengakui nikmatMu ke atas diriku. Aku mengakui dosaku maka dengan itu AMPUNILAH daku kerana tiada yang mampu mengampunkan dosa-dosa melainkan Engkau”

Cukup indah istighfar disaluti penyesalan.

Amalan muhasabah amat baik sebagai menyuntik semangat untuk memperbaharui amalan kita agar lebih baik. Lakukanlah amalan muhasabah sehingga ianya menjadi amalan harian kita.

Amirul Mukminin ‘Umar bin Al-Khattab radhiallahu-‘anhu “Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung dan timbanglah amalan-amalan kamu sebelum kamu ditimbang.”

Setelah itu tanamkan keazaman sebelum tidur dan dan tidurlah dengan sebaik-baik keazaman.


5.      AL-MU’ATABAH(Teguran)

4 langkah yang awal perlulah disempurnakan dengan langkah-langkah seterusnya. Langkah seterusnya iaitu al-mu’atabah. Al-Mu’atabah bermaksud teguran kepada diri sendiri untuk diperbetulkan. Langkah ini juga hanya sekadar kita berkata kepada diri kita.

Contohnya katakan kepada diri :

Sehingga bila kamu mahu kekal begini duhai diri? Telah berlalu masa, hari dan tahun bersama berlalunya kebaikan bagi engkau!!!

Di manakah kamu daripada perintis-perintis yang terdahulu yang dekat dengan tuhan (para sahabat)???
Di manakah kamu daripada ulama'-ulama' yang ikhlas?
Di manakah kamu daripada pendakwah-pendakwah yang beramal dengan ilmunya?
Di manakah kamu daripada para penghuni syurga?
Sekiranya kamu mati sekarang duhai diri adakah kamu akan memasuki syurga ?
Adakah Allah akan meredhai kamu duhai diri sedangkan kamu malas penuh dengan maksiat dan penuh dengan kekurangan??
Kenapa kamu tidak belajar daripada kesilapan kamu??
Kenapa kamu tidak membersihkan daripada kekurangan kamu??

Teguran sebegini perlu dilazimi untuk membakar nafsu, menguatkan kemahuan, memantapkan keazaman dan membuang sikap buruk dalam diri. Merasakan diri telah sempurna, merasakan tidak ada kekurangan merupakan adalah penyakit. Datang al-mu’atabah dengan dos yang mencukupi dan matlamat yang sebagai rawatan bukannya penambah kepada penyakit tersebut.


6.      AL-MU’AQOBAH (Hukuman)

Antara perkara yang penting dalam menyempurnakan perancangan kita adalah dengan al-mu’aqobah iaitu hukuman sebagai peringatan dan pengajaran. Hukuman tidak perlu dilakukan secara kerap sehinggakan tidak ada kesan daripada hukuman tersebut dan merasa jemu terhadap hukuman tersebut.

Sebaiknya hukuman tidak dilakukan dengan perkara-perkara ketaatan yang mempunyai kesan yang positif seperti mengerjakan solat, berpuasa dan lain-lain ibadah. Dibimbangi nafsu akan membenci perkara ibadat berbanding memberikan kesan yang positif kerana hakikatnya nafsu membenci hukuman.

Namun begitu, satu amalan sunat yang baik untuk dijadikan sebagai hukuman iaitu sedekah. Antara perkara yang paling disukai oleh nafsu adalah harta. Tetapkan kadar terhadap kesalahan. Walaupun sedikit namun ianya cukup berkesan untuk menghukum nafsu yang suka kepada harta.

Perkara yang paling baik untuk kita melaksanakan hukuman adalah dengan mengharamkan al-mubaahat (perkara-perkara harus) atau mengurangkan perkara yang disukai oleh nafsu. Contohnya tidak keluar ke tempat yang disukai ataupun mengurangi kuantiti makanan ataupun mengurangi jam tidur.


7.      AL-MUKAFA-AH (Ganjaran)

Al-Mukafa-ah berlawanan dengan Al-Mu’aqobah iaitu ganjaran. Dua perkara terakhir ini iaitu hukuman dan ganjaran amat penting dalam tarbiyyah (mendidik) dan tazkiyyah (penyucian jiwa). Dua perkara ini saling lengkap-melengkapi. Sekiranya hilang salah satu daripada dua ini maka tidak akan sempurna tarbiyyah seperti yang diinginkan.

Sepertimana kita dihukum apabila melakukan kekurangan adalah berhak untuk diberikan ganjaran tika mana kerja yang kita lakukan itu berjalan dengan baik dan lancar. Maka berikan ganjaran dan berikan juga pujian.

Sebelum itu jangan dilupakan ucapan Alhamdulillah tanda syukur atas kurnian yang Allah berikan sebagai penyempurna kepada perancangan kita.

Sepertimana hukuman berlegar sekitar perkara-perkara mubaahat, begitu juga untuk ganjaran. Berikan sedikit rehat kepaada tubuh atau tenangkan diri dengan pergi ke tempat-tempat yang menarik sebagai persedian untuk kecergasan untuk melakukan aktiviti seterusnya.

Kesimpulannnya, pertama sekali kita perlu rancang dengan baik aktiviti kita. Kemudian hadirkan muroqobatullah agar kita ingat bahawasanya aktiviti kita ini akan dipantau oleh Allah ‘Azza Wa Jalla. Tidak cukup setakat itu mujahadahkan diri untuk kuat melakukan aktiviti tersebut.

Berakhirnya aktiviti bermulalah peranan muhasabah seterusnya mu’atabah. Penyempurna kepada semua sekali adalah mu’aqobah dan mukafa-ah. Wallahu a’lam.

InsyaAllah dengan dengan langkah-langkah ini akan memudahkan kelancaran perancangan aktiviti kita dengan bantuan dari Allah.

Akhukum,

abusulaim
Ahmad Najmi Aslam bin Rusli 
Shoubra, Mesir 

_____________
Rujukan
1.       Al-Khittotul Barraqah li zin Nafsi At-Tawwaqah – Syeikh Solah Al-Khalidi

2.       Asraarul Muhibbin fi Ramadhan – Syeikh Husain Ya’qub
Categories: